Sunday, October 31, 2010

JANGAN BEZAKAN ANAK

SAYA setuju benar dengan paparan kisah minggu lalu ''sebab emak saya pun sama, tetapi bukanlah suruh kami bergaduh adik-beradik, sebaliknya suka membandingkan kemewahan dan kesusahan hidup kami.

''Anak yang lebih mewah menjadi kesayangan emak, menjadi sebutan, dan namanya dijaja satu kampung, sebab nak beritahu orang anaknya kaya dan hidup mewah.'' Demikian cerita Norhanis dalam emelnya.

''Tetapi anak-anak yang kurang mampu, yang hidup tak seberapa mulalah emak pinggirkan. Sebab emak suka anak-anaknya hidup mewah, ada kereta besar, rumah besar dan ada perabut serba mewah. Bila ada semua itu barulah emak puas hati, kerana pandai mendidik anak-anaknya berjaya dalam kehidupan.

''Saya lima beradik, seorang lelaki dan empat perempuan. Emak didik kami supaya rajin belajar maka ada antara kami yang berjaya dalam pelajaran. Ada yang tidak. Sesiapa yang pandai belajar pasti jadi anak kesayangan emak.

''Tapi emak lupa. Pandai belajar tak semestinya bila bekerja dapat pangkat tinggi dan bergaji lumayan, kerana ada kalanya orang yang tak pandai belajar lebih besar pendapatanhya. Bukankah rezeki ketentuan Allah juga. Tapi emak macam tak faham.

''Dulu masa sekolah saya dan adik menjadi anak kesayangan emak, sebab masuk sekolah asrama. Kami dapat masuk kolej. Nama kami emak jaja satu kampung. Bukan main kembang dan gah hati emak, kamilah anak harapan emak, konon bila kami dapat kerja pasti gaji kami besar.

''Nak jadikan cerita, dua orang kakak kami cuma lulus SPM, walaupun pandai, zaman kakak nak sambung belajar memang susah, peluang belajar tak banyak macam zaman kami, jadi kakak bekerja sebagai kerani.

''Emak langsung tak menaruh harapan pada kakak-kakak kami, maklum gaji kerani berapa sangat. Bila kahwin suami mereka pun kerani jugak. Abang pulak jadi tentera paling tinggi pangkatnya satu ketika itu cuma jadi sarjan. Jadi kami berdua sajalah jadi harapan emak. Ketika itu kami dipuji melangit kerana kami pandai sekolah. Kami pun macam tak sedar diri bila kena puji, buat kerja rumah memang tak tahu langsung.

Tawaran

''Bila kakak dan abang kahwin emak buat kenduri ala kadar saja. Alasan emak kena simpan duit untuk kami belajar nanti. Manalah tahu kami dapat tawaran sambung belajar luar negara! Harapan emak tinggi nama kami dicanang satu kampung.

''Tetapi emak lupa rezeki itu ketentuan Allah. Nak jadikan cerita walaupun lulus SPM tetapi kakak cari peluang sambung belajar. Dan lebih penting suami mereka menyokong hasrat isterinya sambung belajar dengan membantu mereka jaga anak-anak ketika kakak pergi belajar.

''Kak long bersemangat nak sambung belajar sebab suaminya dah dapat diploma. Kak ngah pulak suaminya dah berhenti kerja, buat bisnes dan berjaya pulak. Saya pulak ketika itu walaupun ada diploma susah pulak nak cari kerja sebab ekonomi meleset, begitu jugak dengan adik walaupun ada ijazah. Kerja masih belum ada dapat.

''Akhirnya saya terima tawaran kerajaan bekerja dengan gaji kecil. Terkial-kial jugaklah kami nak sambung hidup. Maklum kerja di bandar besar dengan gaji kecil mana nak cukup. Dua tahun lepas tu baru dapat kerja yang sesuai, tapi gaji masih kecil lagi, adik pun sama. Bila kami mengeluh dan mengadu pada emak tentang gaji kami, emak jadi lemah semangat. Anak-anak yang menjadi harapan mengeciwakannya.

''Ketika itu dua orang kakak dan abang mula hidup mewah, emak mula melihat perubahan hidup mereka, mula-mula emak lihat kereta mereka dah bertukar yang mahal, dah pindah rumah teres dua tingkat dari rumah flat, kak ngah dan suaminya pakai kereta mewah. Abang pun sama ketika itu dah ikut suami kak ngah buat bisnes.

''Setiap kali mereka balik kampung emak terbeliak mata. Ada ada saja perubahan diri mereka yang emak lihat. Tentang pakaiannya, kereta, barang kemas, beg tangan dan macam-macam lagi yang membanggakan emak. Berbanding kami berkereta kecil.

''Kerana emak jenis suka membangga diri, dia tetap puji anak-anaknya yang hidup mewah pada orang kampung, walaupun dulu emak tak pernah yakin kejayaan mereka dulu sebab tidak pandai sekolah dan tidak berkelulusan tinggi.

''Selepas ayah meninggal dunia, emak semakin rajin bertandang ke rumah anak-anak, lepas rumah kak long, rumah kak ngah dan abang. Ada-ada sajalah cerita emak bila balik kampung dan bila datang ke rumah kami.

''Bila orang kampung dah meluat dengar cerita emak yang membanggakan kemewahan anak-anaknya. Itu menurut cerita dari saudara mara kami di kampung kepada saya, kemudian emak tukar taktik lain. Kali ini saya dan adik jadi target tempat emak bercerita memuji kakak hingga menyakitkan hati kami mendengarnya.

''Emak mula tanya berapa gaji saya dan suami saya. Kenapa saya tak beli sofa mewah macam kak long, rumah besar macam kak ngah atau beli kereta mewah macam suami kak ngah. Kenapa suami saya tak buat bisnes nanti boleh jadi kaya.

''Saya kata pada emak setiap orang ada rezeki yang diberikan Allah, walaupun mereka tak masuk kolej atau universiti dulu, tapi rezeki mereka ada di tempat lain yang lebih baik.

''Bila saya terangkan pada emak, dia mengaku faham, tetapi dia faham untuk sebulan dua aja, lepas tu dia buat peel balik.

''Walaupun perbuatan emak bukan bertujuan melaga-lagakan kami, tetapi secara tidak langsung telah membuat kami rasa rendah diri kerana tidak berkemampuan, berbanding kakak-kakak dan abang kami yang lebih senang dan mewah hidupnya. Sikap emak juga membuat kami rasa kecil hati.

''Tujuan saya bercerita di ruangan ini bukan mahu mengaibkan emak, tetapi saya mahu mengingatkan diri saya dan pembaca semua janganlah jadi macam emak saya suka membeza-bezakan kemampuan anak-anak sama ada anak yang pandai ataupun tidak, apa lagi kalau ada antara anak-anak yang kurang berkemampuan.


P/S: Petikan ini mama kiter ambil dari laman keluarga di dalam Utusan Malaysia..Ingin berkongsi juga buat tauladan bersama rakan blog yang telah dan juga bakal menjadi ibubapa. Anak itu anugerah juga amanah Allah pada kedua ibubapa...mengapa harus ada perbezaan kasih sayang diatara mereka sedangkan mereka lahir dari benih juga rahim yang sama..


Rezeki adalah hak Allah..kita tidak akan dapat masuk campur didalam urusan Allah untuk menganugerahkan rezeki yang sebagaimana buat diri kita juga sesiapa pun..Allah sahaja yang maha mengetahui bagaimana harus yang dia mahu memberi rezeki kepada hambaNYA yang bersesuaian dengan diri hambaNYA...

Wednesday, October 27, 2010

IBU SEORANG PEMBOHONG!

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya . Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.


Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata :"Makanlah nak ibu tak lapar."PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA..

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata :"Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan."PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata :"Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi."PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata :"Minumlah nak, ibu tak haus!!"PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata :"Saya tidak perlukan cinta dan? saya tidak perlukan lelaki."PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata :"Jangan susah-susah, ibu ada duit."PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ;"Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang."PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin.. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya? penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata.. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata :"Jangan menangis nak, ibu tak sakit."PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…